KESUMA tawar kursus percuma kepada 10,000 tenaga sektor pelancongan bermodalkan RM2.65 juta

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyediakan kursus asas keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) secara percuma kepada 10,000 pemain industri pelancongan, melibatkan peruntukan RM2.65 juta.
Menteri, Datuk Seri R Ramanan memaklumkan, inisiatif itu dilaksanakan menerusi program Latihan Induksi Keselamatan untuk Industri Pelancongan (SITI) sebagai sokongan kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
“Program ini terbuka kepada pemandu pelancong, pengusaha produk pelancongan, pekerja dan kontraktor industri pelancongan serta kakitangan dan penyedia penginapan.
Golongan terlibat akan ditawarkan penyertaan oleh NIOSH bagi memastikan mereka melaksanakan tugas mengikut piawaian KKP. Dana RM2.65 juta disediakan oleh NIOSH dan permohonan boleh dibuat melalui laman web NIOSH,” katanya.
Program SITI akan dikendalikan sepenuhnya oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Tambah Ramanan, peserta yang menamatkan kursus akan menerima pasport keselamatan digital dengan tempoh sah laku dua tahun.




