Dunia
Sekolah agama runtuh: 59 mangsa pelajar masih terperangkap

Seramai 59 mangsa dilaporkan masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan sebuah sekolah berasrama di Pulau Jawa, Indonesia sejak insiden pada Isnin lalu.
Setakat ini, lima mangsa disahkan terkorban, manakala lima lagi berjaya dikeluarkan hidup-hidup oleh pasukan penyelamat.
Usaha mencari dan menyelamat berdepan cabaran besar kerana struktur bangunan tidak stabil, selain ruang terowong hanya selebar 60 sentimeter yang menyukarkan akses.
Bagi meningkatkan peluang menemukan mangsa, pasukan penyelamat menggunakan dron berteknologi pengesan haba.
Tempoh ‘72 jam keemasan’ kini semakin suntuk, namun pasukan operasi masih mengesan tanda-tanda kehidupan di tujuh kawasan runtuhan.




