Selangor, P. Pinang dan Putrajaya rekod kos kehidupan wajar tertinggi

Selangor mencatat kos kehidupan wajar tertinggi bagi semua saiz isi rumah, manakala Kelantan, Kedah dan Perlis antara negeri dengan kos terendah, menurut Indikator Kos Sara Hidup Malaysia 2024 terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Bagi isi rumah seorang, Selangor merekodkan indeks tertinggi, diikuti Pulau Pinang dan Putrajaya, manakala Kelantan, Kedah dan Perlis berada pada paras terendah. Corak sama turut direkodkan bagi isi rumah dua hingga empat orang.
Kos kehidupan wajar di Kelantan bagi isi rumah seorang adalah 46.3 peratus lebih rendah berbanding Kuala Lumpur, manakala bagi isi rumah empat orang di Perlis, perbezaannya mencecah 39.1 peratus.
Di peringkat daerah, Petaling di Selangor merupakan satu-satunya daerah yang mencatat kos kehidupan wajar lebih tinggi daripada Kuala Lumpur bagi semua saiz isi rumah, manakala Pantu di Sarawak dikenal pasti sebagai daerah paling rendah.
Bagi peringkat ibu negeri, Shah Alam merekodkan kos kehidupan wajar tertinggi, melepasi Kuala Lumpur, sementara Kangar kekal sebagai ibu negeri dengan kos terendah.




