Seorang maut, 9 cedera dalam letupan di kafeteria universiti swasta di Bukit Damansara

Seorang lelaki maut manakala sembilan individu cedera dalam kejadian letupan gas melibatkan kompresor penyaman udara di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara, pagi tadi.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 11.40 pagi di kawasan penyelenggaraan penyaman udara berhampiran kafeteria di tingkat empat bangunan universiti berkenaan.
Mangsa yang maut disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Sembilan lagi mangsa cedera membabitkan pelajar universiti, pekerja kontraktor, seorang juruteknik serta pekerja kantin.
Beberapa mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah manakala selebihnya cedera ringan, termasuk melecur dan separa melecur akibat serpihan letupan.
Semua mangsa dikejarkan ke HKL, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.
Punca awal dipercayai akibat kebocoran gas bertekanan tinggi, namun siasatan lanjut masih dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).




