Suami isteri ditahan, rekrut pelajar sekolah curi tabung masjid di Melaka

Tindakan jenayah seorang wanita berusia 31 tahun bersama suaminya, 29, yang merekrut dua pelajar sekolah untuk mencuri tabung masjid, surau serta motosikal akhirnya tumpas selepas ditahan minggu lalu.
Pasangan itu antara 12 individu yang diberkas dalam Op Pintu/Lejang Khas 2025 oleh Bahagian Risikan/Operasi/Rekod Jenayah (D4) JSJ Melaka yang dijalankan dari 22 hingga 28 September lalu.
Polis turut menumpaskan tiga kumpulan penjenayah yang aktif melakukan kegiatan pecah masuk rumah, curi kenderaan serta pecah tabung masjid dan surau, termasuk kumpulan dikenali sebagai “Geng Abang Wan” yang dianggotai pasangan suami isteri tersebut.
Dua pelajar sekolah berusia 13 dan 15 tahun dipercayai dijadikan ‘budak suruhan’ dalam kegiatan jenayah kumpulan itu.
Kesemua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.




