Tanah runtuh: Lebih 100 penduduk Taman United diarah pindah

Lebih 100 penduduk di Flat Taman United, Seputeh, diarahkan mengosongkan kediaman selepas berlakunya tanah runtuh yang menjejaskan kawasan itu susulan hujan berterusan sejak pagi.
Kejadian di sepanjang lereng Jalan Sepadu 6 dan Jalan Sepadu 7 itu melibatkan runtuhan sepanjang kira-kira 60 meter yang menghempap dua kereta dan beberapa motosikal, termasuk sebuah kereta yang tertimbus.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh bersama jurutera DBKL segera berada di lokasi untuk menilai keadaan.
Pergerakan tanah yang masih aktif serta hujan lebat mendorong arahan pemindahan bagi dua blok kediaman melibatkan 104 unit serta premis berhampiran bagi mengelakkan risiko runtuhan susulan.
Setakat ini, tiada kecederaan dilaporkan, dan pemantauan rapi masih dijalankan.
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, mengingatkan penduduk agar memberi kerjasama penuh kepada pasukan keselamatan dan segera berpindah ke pusat perlindungan sehingga keadaan kembali stabil.




