Latihan pengurusan krisis perlu diwajibkan di semua sekolah – NUTP

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa kursus dan latihan pengurusan krisis diwajibkan di semua sekolah bagi memastikan guru serta warga sekolah bersedia menghadapi situasi kecemasan.
Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon berkata, langkah itu penting susulan peningkatan insiden keganasan melibatkan sekolah.
Menurutnya, latihan perlu melibatkan guru, guru disiplin, kaunselor dan Unit Hal Ehwal Murid (HEM) dengan fokus kepada pengesanan murid berisiko, pengurusan konflik serta tindakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketika kecemasan.
Fouzi berkata, latihan secara praktikal perlu dijalankan secara berkala seperti simulasi kebakaran supaya guru dan murid tahu tindakan yang perlu diambil serta tidak panik ketika berdepan kejadian sebenar.
Beliau turut mencadangkan kerjasama antara pihak sekolah, pengawal keselamatan dan ibu bapa dipertingkat bagi memantau murid berisiko, sambil menegaskan aspek latihan dan kesiapsiagaan lebih penting berbanding pemeriksaan mengejut setiap hari.




