Ular sawa hampir 8kg sesat mandi-manda di Pantai Tanjung Bidara

Suasana di Pantai Tanjung Bidara, Alor Gajah bertukar kecoh apabila seekor ular sawa batik seberat hampir lapan kilogram dan sepanjang dua meter muncul dari laut berhampiran pengunjung, tengah hari Ahad.
Insiden jam 12.15 itu mencetuskan panik apabila reptilia berkenaan berenang berhampiran kawasan mandi-manda sebelum dilaporkan kepada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas di menara penyelamat.
Dua anggota APM bergegas ke lokasi dan berjaya menangkap ular kira-kira 25 meter dari pesisir pantai menggunakan papan luncur penyelamat serta tanjul khas.
Operasi tersebut mengambil masa hampir 30 minit kerana reptilia itu berenang dan menyelam dengan pantas.
Ular berkenaan dipercayai keluar dari kawasan semak berhampiran muara sungai di Kem Terendak untuk mencari makanan sebelum tersesat ke laut.
APM menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada ketika berkunjung ke pantai dan segera membuat laporan jika menemui haiwan liar.




