Wanita ada ‘first class degree’ kecewa hanya ditawar gaji RM1,700

Seorang wanita meluahkan rasa kecewa apabila gagal memperoleh pekerjaan setimpal dengan kelayakan akademiknya, meskipun memiliki keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang serta Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.
Menerusi satu perkongsian di Threads, pengguna akaun @nonamaneee_ itu memaklumkan dia telah memohon ratusan jawatan namun kebanyakannya hanya menawarkan gaji minimum sekitar RM1,700, tanpa peluang dalam bidang pengajiannya.
Katanya, dia tidak pernah mensasarkan gaji permulaan tinggi, namun tawaran berulang pada kadar minimum membuatkan usaha dan pengorbanan menuntut ilmu terasa sia-sia.
Perkongsian itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, ada yang menyarankan supaya menerima dahulu sebarang tawaran pekerjaan demi pengalaman.
Sementara yang lain berpandangan jurang kecil antara gaji graduan dan lepasan SPM menimbulkan persoalan terhadap nilai pendidikan tinggi dalam pasaran kerja semasa.




