Wanita terperangkap 54 jam dalam perigi dipenuhi ular air

Seorang wanita berusia 48 tahun di Quanzhou, wilayah Fujian, berdepan detik cemas apabila terjatuh ke dalam sebuah perigi lama dan terbiar ketika berjalan di kawasan hutan pada 13 September lalu.
Mangsa, dikenali sebagai Qin, dilaporkan hilang oleh keluarganya pada keesokan hari sebelum pasukan penyelamat dari Jinjiang Ruitong Blue Sky Emergency Rescue Centre mengesan kedudukannya menggunakan dron imej haba.
Qin terperangkap lebih 54 jam dalam keadaan lemah dan hanya berpaut pada dinding perigi yang licin sambil dikelilingi nyamuk serta ular air. Dia turut digigit seekor ular air namun terselamat kerana tidak berbisa.
Pasukan penyelamat akhirnya berjaya menarik Qin keluar pada 15 September selepas membersihkan kawasan sekitar perigi.
Qin yang mengalami dua tulang rusuk patah dan kecederaan paru-paru ringan dibawa ke Hospital Bandar Jinjiang sebelum dipindahkan ke Hospital Pertama Quanzhou untuk rawatan lanjut. Keadaannya kini dilaporkan stabil.




