Warga emas maut selepas MPV terbalik, langgar batu bucu rumah

Seorang lelaki warga emas berusia lingkungan 60-an maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Jalan Bukit Kerayong, Pandamaran, kira-kira jam 8.30 malam tadi.
Pihak polis mengesan satu video tular di media sosial yang memaparkan beberapa individu memecahkan cermin dan menolak kenderaan terbabit di lokasi kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, siasatan awal mendapati mangsa sedang dalam perjalanan dari Jalan Bukit Kerayong menghala ke Jalan Banting sebelum dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu melanggar struktur batu di bucu sebuah rumah di tepi jalan.
Pelanggaran itu menyebabkan kenderaan mangsa terbalik secara mengiring di bahu longkang. Tindakan orang awam yang cuba mengalihkan kenderaan itu bagaimanapun menyebabkan MPV tersebut terjatuh ke dalam longkang bersama mangsa.




