White House tidak puas hati bukan Trump yang dapat Hadiah Keamanan Nobel

White House mengecam keputusan Jawatankuasa Nobel yang menganugerahkan Hadiah Keamanan Nobel kepada aktivis prodemokrasi Venezuela, María Corina Machado, dan bukan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Washington mendakwa jawatankuasa itu mengutamakan pertimbangan politik, meskipun Trump sebelum ini mendakwa memainkan peranan besar dalam memeterai beberapa perjanjian damai antarabangsa.
Ia termasuk gencatan senjata berperingkat di Gaza yang diumumkan dua hari sebelum penganugerahan.
Trump sebelum ini secara terbuka menyatakan minat untuk meraih pengiktirafan tersebut dan sering mengambil kredit atas kejayaan menamatkan beberapa konflik global sepanjang pemerintahannya.
Setakat ini, hanya empat Presiden AS pernah menerima Hadiah Keamanan Nobel iaitu Theodore Roosevelt, Woodrow Wilson, Jimmy Carter dan Barack Obama.




