Malaysia

Harimau sesat di Ukay Perdana, Perhilitan turut dengar bunyi ngauman semasa tinjauan

Penghuni Pangsapuri Sri Baiduri, Ukay Perdana di Ampang hidup dalam kebimbangan selepas beberapa penduduk, khususnya di Blok F, mendakwa terdengar bunyi ngauman harimau dari kawasan hutan berhampiran sejak Rabu lalu.

Susulan laporan itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama polis Balai Taman Melawati melancarkan operasi khas dengan kekuatan lapan anggota, antaranya lengkap bersenjata ‘shotgun’.

Pasukan pemeriksa turut mengesan dua kali bunyi dipercayai ngauman ketika membuat tinjauan namun tidak menemui sebarang tapak atau kesan fizikal haiwan.

Ia dipercayai berikutan keadaan tanah yang dipenuhi daun kering. Perhilitan merancang untuk memasang perangkap kamera di lokasi terbabit.

Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan haiwan itu tersasar dari habitat asal sekitar Hulu Langat akibat gangguan manusia di kawasan tadahan hijau.

Setakat ini, jenis spesies belum dikenal pasti sama ada harimau belang, harimau dahan atau hidupan liar lain.

Penduduk dinasihatkan tidak menghampiri kawasan hutan, mengelak bermain di kawasan terbuka serta memastikan pintu dan tingkap kediaman sentiasa berkunci bagi mengelakkan sebarang risiko.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker