257 kemalangan direkod di JRTB Gerik-Jeli, 22 libatkan kematian

Sebanyak 257 kes kemalangan melibatkan 442 kenderaan direkodkan di laluan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli dari Januari hingga Jun tahun ini, mengakibatkan 22 kematian, termasuk tragedi membabitkan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Abdul Samad Othman, jumlah kenderaan terlibat merangkumi 287 kereta, 55 MPV atau van, 42 motosikal, 38 trak pikap, 17 lori dan tiga bas.
Sementara itu, data bancian trafik Jabatan Kerja Raya (JKR) menunjukkan JRTB masih mampu menampung jumlah trafik semasa dengan purata 2,409 kenderaan sehari, termasuk 751 kenderaan berat.
Ketua Pengarah JKR, Datuk Roslan Ismail berkata sebanyak 16 lokasi berisiko kemalangan dikenal pasti di laluan itu sejak 2018, dan kerja-kerja rawatan lokasi blackspot berimpak tinggi serta kos rendah sedang dilaksanakan bagi menambah baik tahap keselamatan.




