3.2 tan sampah dibuang di sekitar KL pada malam Tahun Baharu

Alam Flora Sdn Bhd mengutip kira-kira 3.2 tan sampah di tiga lokasi tumpuan sekitar ibu negara sempena sambutan Ambang Tahun Baharu 2026, mencatatkan penurunan sekitar 11 peratus berbanding 3.6 tan pada tahun lalu.
Operasi pembersihan melibatkan kawasan Bukit Bintang, Dataran Merdeka dan sekitar Menara Berkembar Petronas (KLCC), bermula jam 10 malam hingga 8 pagi bagi memastikan bandar raya kembali bersih selepas sambutan.
KLCC merekodkan kutipan sampah tertinggi sebanyak 1.4 tan, diikuti Bukit Bintang (1 tan) dan Dataran Merdeka (0.8 tan). Bagi menyokong pengurusan sisa, sebanyak 61 tong sampah mudah alih pelbagai kapasiti ditempatkan di lokasi strategik.
Secara keseluruhan, tahap kebersihan sepanjang sambutan dilaporkan terkawal, khususnya di Bukit Bintang, mencerminkan kesedaran awam yang semakin baik terhadap kebersihan bandar.



