4 pelajar Tingkatan 5 ditahan berhubung kes rogol beramai-ramai pelajar junior

PETALING JAYA:
Empat pelajar Tingkatan 5 di Alor Gajah, Melaka, telah ditahan polis berhubung kes rogol beramai-ramai seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 di dalam bilik darjah sekolah mereka.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata keempat-empat suspek kini direman sehingga 16 Oktober bagi membantu siasatan, lapor MalaysiaGazette.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana kesalahan rogol beramai-ramai, yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun jika disabitkan kesalahan.
Difahamkan, kejadian berlaku sekitar 2.50 petang pada 2 Oktober ketika mangsa berusia 15 tahun itu menuju ke bilik darjahnya untuk mengambil barang yang tertinggal. Dua daripada suspek dilaporkan hanya memerhati dan merakam kejadian tersebut menggunakan telefon bimbit.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan menegaskan pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan.
“KPM tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku seksual, dan tindakan tegas mesti diambil terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah,” menurut kenyataan itu.
Kementerian turut menggesa pihak pentadbiran sekolah supaya mematuhi garis panduan pengurusan kes salah laku seksual bagi memastikan kebajikan dan keselamatan murid serta guru terus terpelihara.




