Remaja ditahan menyamar sebagai polis di Merlimau

PETALING JAYA:
Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditahan kerana menyamar sebagai anggota polis dan cuba menahan seorang wanita di simpang lampu isyarat Taman Debunga, Merlimau pada 16 Julai lalu.
Ketua Polis Jasin, Rusli Mat berkata, suspek ditahan di sebuah pasar raya berhampiran kawasan perindustrian Telok Mas sekitar jam 9 malam semalam susulan laporan yang dibuat mangsa.
Menurut beliau, mangsa berusia 19 tahun dihampiri suspek menaiki motosikal merah hitam sekitar jam 2 pagi dan diminta menunjukkan lesen serta cuba dirampas kunci motosikalnya.
“Mangsa enggan dan mengajak suspek ke balai polis Merlimau. Suspek kemudian melarikan diri,” katanya.
Siasatan mendapati suspek mengaku menyamar sebagai polis sebanyak dua kali dan hanya berniat menakutkan mangsa.
Polis turut merampas motosikal serta beberapa barangan berkaitan.
Suspek kini direman tiga hari dan disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan.




