Penduduk Melaka kini boleh daftar sebagai ‘Baba Nyonya’ dalam sijil kelahiran

PETALING JAYA:
Ahli komuniti Baba Nyonya di Melaka kini boleh menukar maklumat kaum dalam sijil kelahiran mereka bagi mengiktiraf asal-usul keturunan masing-masing.
Pengerusi Persatuan Baba dan Nyonya Malaysia, Ronald Gan, berkata kemudahan ini akan diperluas kepada masyarakat Peranakan Cina di seluruh negara mulai Januari depan.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Menteri Perpaduan, K Saraswathy, yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan perkara ini.
Gan berkata, proses permohonan akan dikawal ketat di mana pemohon perlu mendapatkan kelulusan persatuan terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk sesi temuduga.
Beliau menambah, selepas pengiktirafan diberikan kepada pemohon utama, ahli keluarga mereka turut layak menerima status Baba Nyonya.




