Malaysia
6 cedera selepas Triton terbabas, rempuh 5 kenderaan di Lebuh AMJ

Enam orang cedera dalam nahas melibatkan enam kenderaan di Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin) berhampiran stesen minyak Shell Cheng, awal pagi tadi.
Kejadian berlaku sekitar jam 6.30 pagi apabila sebuah pikap Mitsubishi Triton dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan dari arah bandar Melaka ke Cheng.
Triton itu kemudian terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh lima kenderaan lain iaitu dua BMW, Perodua Axia, Perodua Myvi dan Nissan Almera sebelum terbalik.
Kesemua enam mangsa yang terlibat mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
Kemalangan berkenaan turut tular di TikTok melalui dua rakaman video berdurasi 46 dan 31 saat yang memaparkan situasi di lokasi kejadian.




