Kenal tak sampai seminggu, pemandu lori 22 tahun disyaki rogol remaja 12 tahun
Seorang pemandu lori ditahan polis pada awal pagi tadi kerana disyaki merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, pada Selasa.
Mangsa yang masih bersekolah itu dikatakan mengenali suspek berumur 22 tahun melalui aplikasi media sosial pada 24 September lalu.
Kanak-kanak itu kemudian keluar dengan suspek pada 29 September lalu dan lelaki terbabit didakwa meraba mangsa pada pertemuan berkenaan.
Suspek yang masih bujang dikatakan mengajak mangsa bertemu lagi kira-kira jam 8.30 malam Selasa sebelum didakwa membawa kanak-kanak itu ke belakang sebuah rumah di Kampung Bakar Kapor dan merogolnya.
Difahamkan, mangsa yang pulang kemudian menceritakan kejadian itu kepada keluarganya sebelum membuat laporan polis.
Susulan itu, kanak-kanak terbabit dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, mengesahkan suspek ditahan di kawasan Kampung Bakar Kapor kira-kira jam 1.30 pagi Rabu.
Beliau berkata, permohonan reman akan dibuat di mahkamah hari ini, bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.




