Baru nak ‘show off’, Mercedes guna plat satu angka palsu ditahan JPJ

Seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan selepas didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu satu angka pada kereta mewah Mercedes Benz GLC 300 Coupe miliknya.
Pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah mendapati nombor tersebut sebenarnya berdaftar pada sebuah motosikal.
Siasatan lanjut mendapati kenderaan itu sepatutnya menggunakan nombor pendaftaran dua angka, namun pemiliknya menukar kepada satu angka bagi tujuan peragaan.
JPJ menegaskan tindakan sebegini serius kerana boleh menyukarkan pengesanan identiti kenderaan sekiranya terbabit dalam kemalangan atau jenayah.
Susulan itu, saman dikeluarkan dan kereta berkenaan disita untuk siasatan lanjut di Depoh Sita JPJ Kedah.
Mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987, pesalah boleh dikenakan denda RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara satu hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.




