Op PUU: Tiada lagi notis, tapi polis terus saman bermula hari ini

Polis Kuala Lumpur memulakan fasa penguatkuasaan Op Patuh Undang-undang (PUU) dengan tindakan saman serta-merta kepada pesalah trafik bermula hari ini, selepas hampir sebulan memberi peluang melalui fasa advokasi.
Dalam tempoh advokasi sejak 6 September lalu, lebih 70,000 notis telah dikeluarkan bagi mendidik orang ramai tentang kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya tanpa dikenakan saman.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata fasa penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun, merangkumi 24 jam setiap hari di seluruh ibu negara.
Sepanjang advokasi, antara kesalahan paling kerap dikesan termasuk mengganggu kelancaran trafik, meletakkan kenderaan di lokasi tidak dibenarkan, melanggar garisan putih, tidak berhenti di lampu isyarat merah serta tidak memakai atau mengikat tali topi keledar dengan betul.




