Malaysia
KTM laluan Pelabuhan Klang–KL Sentral–Tanjung Malim kembali beroperasi

Perkhidmatan tren KTM Komuter bagi laluan Pelabuhan Klang–KL Sentral–Tanjung Malim kembali beroperasi sepenuhnya mulai 6 pagi tadi.
Ini selepas kerja baik pulih kerosakan talian atas antara Stesen Subang Jaya dan Batu Tiga disiapkan pada 11.10 malam semalam.
Kerosakan yang berlaku sejak pagi semalam menyebabkan kelewatan lebih sejam dan memaksa tren di laluan terbabit tamat di beberapa stesen seperti Shah Alam, Batu Tiga dan Padang Jawa, dengan penumpang dialihkan menaiki bas perantara ke Subang Jaya.
KTMB mengucapkan terima kasih kepada penumpang atas kesabaran sepanjang gangguan dan menegaskan komitmen untuk terus menambah baik mutu perkhidmatan demi keselesaan serta keselamatan pengguna.




