Industri semikonduktor global Malaysia jadi tumpuan global – PM

Malaysia melangkah ke fasa baharu dalam industri semikonduktor dunia apabila kerajaan memberi tumpuan penuh kepada usaha memperkukuh ekosistem industri serta melahirkan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inilah masa untuk Malaysia membuktikan kemampuan dengan melaksanakan secara pantas dan berkesan bagi memastikan negara kekal berdaya saing di peringkat global.
“Kita kena kuatkan jaringan kita dengan Amerika Syarikat sebab dia ada kekuatan di situ dan eksport kita tinggi ke sana. Import mereka juga besar daripada Malaysia.
“25 peratus daripada keperluan E&E dan semikonduktor Amerika itu datang dari Malaysia, sekitar hampir RM200 bilion, melibatkan ribuan rantaian bekalan dan puluhan ribu pekerja.
“Tetapi kita ada dasar yang disebut centrality (kepusatan), maka kita berkawan dengan negara China kerana negara itu mempunyai potensi perkembangan yang sangat pantas dan menakjubkan,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 di Cyberjaya pada Khamis.
Beliau berkata, projek IC Design Park ini membuktikan kemampuan negara dalam menarik pelabur antarabangsa hasil kestabilan politik, dasar ekonomi yang jelas dan kecekapan pelaksanaan kerajaan serta agensi berkaitan.
Perdana Menteri turut menyeru golongan muda agar memanfaatkan peluang latihan dalam bidang semikonduktor kerana masa depan industri itu akan ditentukan oleh tenaga muda tempatan.



