Perarakan keadilan Indira Gandhi boleh batal jika Prasana dikembalikan – Ingat

Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) menegaskan bahawa perarakan keadilan yang dijadualkan pada 22 November hanya bertujuan mendesak pihak berkuasa memulangkan Prasana Diksa kepada ibunya, M Indira Gandhi.
Bagaimanapun menurut pengerusinya, Arun Dorasamy, seluruh gerakan ini akan dihentikan serta-merta sekiranya Prasana dikembalikan.
Namun beliau menambah bahawa jika tiada perkembangan, perarakan akan diteruskan seperti dirancang.
Perarakan aman itu bermula di Sogo dan berakhir di Bukit Aman, di mana Indira dijadual menyerahkan anak patung milik Prasana kepada pihak polis sebagai simbol kehilangan selama 15 tahun.
Selain menyerahkan dokumen tindakan komital terhadap Ketua Polis Negara berhubung dakwaan kegagalan mematuhi perintah Mahkamah Persekutuan untuk memulangkan anaknya.
Arun turut menjelaskan bahawa perarakan ini menarik penyertaan luas daripada peguam, mahasiswa universiti, kumpulan masyarakat sivil dan ibu-ibu dari seluruh negara.
Perarakan ini merupakan anjuran bersama Agamam Ani Malaysia dan dijangka menjadi antara kempen terbesar mendesak tindakan segera dalam kes kehilangan Prasana, yang masih belum ditemui sejak 2009 selepas dilarikan oleh bekas suami Indira.




