PERKESO jawab kekeliruan berhubung pindaan Akta SIP

Pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang mewajibkan majikan memaklumkan kekosongan atau pewujudan jawatan baharu hanya akan dikuatkuasakan selepas sesi libat urus bersama wakil majikan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana.
Bagi memastikan peralihan lebih teratur, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menetapkan moratorium penguatkuasaan selama dua tahun, dengan fokus kepada pendidikan, penerangan dan pematuhan secara berfasa tanpa sebarang penalti.
Sepanjang tempoh ini, majikan hanya perlu membuat hebahan kekosongan melalui portal MYFutureJobs, manakala pengesanan apabila jawatan diisi dilakukan secara automatik melalui pendaftaran pekerja baharu dan caruman majikan.
PERKESO menegaskan pindaan ini bertujuan memperkukuh ekosistem pekerjaan negara dengan menyediakan akses peluang kerja yang lebih telus untuk rakyat serta menyediakan data pasaran buruh yang tepat bagi perancangan dasar kerajaan.
Selepas sesi Dewan Negara, PERKESO akan mengadakan siri townhall dan libat urus menyeluruh bersama majikan dan industri bagi menerangkan mekanisme pelaksanaan.




