DAPSY gesa semua sepakat iktiraf UEC, langkah penting untuk reformasi pendidikan negara

Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan menyeru semua parti politik mencapai konsensus nasional untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), dengan menegaskan bahawa sijil itu memiliki nilai akademik tinggi, diiktiraf antarabangsa dan berupaya melahirkan bakat berkualiti untuk negara.
Menurut Ketua DAPSY Kebangsaan, Woo Kah Leong, pengiktirafan UEC perlu dilihat secara akademik dan profesional, bukan dipolitikkan.
UEC telah lama diterima oleh ratusan universiti terkemuka di seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Singapura dan Jepun, selain terbukti melahirkan bakat dalam bidang teknologi dan sains, seperti Datuk Pua Khein-Seng yang mencipta pemacu USB.
Malah, banyak institusi seperti Universiti Malaya turut menerima kelayakan antarabangsa seperti A-Level dan IB, yang tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
DAPSY menegaskan bahawa usaha kerajaan perpaduan hari ini adalah kesinambungan janji parti-parti politik terdahulu, termasuk Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan PAS yang pernah menyatakan sokongan terhadap pengiktirafan UEC.




