Lelaki pandu Ferrari seperti samseng di Subang Jaya serah diri – Polis

Seorang lelaki yang tular memandu kereta Ferrari secara berbahaya sehingga menghalang laluan jalan raya di sekitar Subang Jaya tampil menyerah diri bagi membantu siasatan polis.
Ketua Polis Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat memaklumkan, laporan diterima kelmarin berkaitan insiden perselisihan faham dua pemandu yang dipercayai berlaku pada 27 Disember lalu dan dirakam kamera papan pemuka.
Siasatan awal mendapati lelaki berusia 33 tahun itu memandu secara gopoh, mengekori kenderaan lain, berhenti secara mengejut serta menghalang laluan sehingga berisiko membahayakan pengguna jalan raya.
Suspek, yang merupakan warga tempatan, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dan disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh serta Seksyen 341 Kanun Keseksaan berkaitan halangan salah.
Rakaman percakapan telah diambil sebelum suspek dibebaskan dengan jaminan polis, manakala Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Subang Jaya turut membuka kertas siasatan berkaitan kesalahan menghalang lalu lintas.




