“Saya ada bom, semua akan mati” – angkara nama hotspot WiFi, pesawat dipintas jet pejuang NATO

Sebuah pesawat Turkish Airlines dipintas jet pejuang NATO selepas tercetus ancaman bom gara-gara nama hotspot WiFi bertulis “saya ada bom, semua akan mati” ketika penerbangan dari Istanbul ke Barcelona.
Insiden itu mencetuskan amaran kecemasan apabila kru mengisytiharkan kod squawk 7700, sebelum pesawat diiringi jet pejuang Perancis dan kemudian Sepanyol ketika memasuki ruang udara negara itu.
Pesawat membawa 148 penumpang dan kru diarahkan mendarat cemas di Lapangan Terbang Barcelona-El Prat dan ditempatkan di kawasan terpencil.
Siasatan mendapati ancaman berpunca daripada nama rangkaian WiFi yang mencurigakan.
Pemeriksaan keselamatan termasuk penggunaan anjing pengesan tidak menemukan sebarang bahan letupan. Operasi lapangan terbang hanya terganggu sementara sebelum kembali normal.




