Sindiket pasport terbang, 20 pegawai imigresen dibuang kerja

Seramai 20 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah dibuang kerja selepas didapati terlibat dalam kegiatan pasport terbang bagi tempoh 2022 hingga 2025, manakala 41 pegawai pula dikenakan tindakan tatatertib berkaitan kes sama.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban, memaklumkan tindakan tegas itu diambil hasil siasatan dalaman yang telus dan berlandaskan peraturan perkhidmatan awam.
Beliau berkata, JIM mengambil maklum laporan siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berkaitan dakwaan aktiviti pasport terbang di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan menghormati peranan EAIC sebagai badan pemantau integriti.
Menurutnya, JIM telah dan sedang melaksanakan tindakan susulan selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan sedia ada serta mekanisme tatatertib yang berkuat kuasa.




