Pengerusi kuil mengaku tidak bersalah ceroboh tanah di Dengkil

Seorang pengawal keselamatan yang juga pengerusi kuil, M. Paramaguru, 49, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menceroboh tanah milik individu lain di Dengkil, Jun tahun lalu.
Dia didakwa memasuki tanah milik Suhaili Ahmad tanpa kebenaran di Jalan Selangor Dredging pada 19 Jun 2025 dan berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Mac ini untuk serahan dokumen kes.
Tertuduh ditahan di kediamannya semalam. Sebelum ini dilaporkan, pemilik tanah mendakwa kawasan yang dibelinya sejak 2001 itu didapati telah didirikan sebuah kuil tanpa pengetahuannya selepas lebih dua dekad tidak memasuki lokasi berkenaan.




