Halusinasi punca lelaki tikam anak dan adik di Kampar

Seorang lelaki dipercayai mengalami halusinasi bertindak menikam anak lelaki serta adik perempuannya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Bandar Baru, Kampar, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.35 petang, anak lelaki suspek berusia 22 tahun ditikam tiga kali di bahagian kiri leher, manakala adik bongsunya berusia 56 tahun turut parah selepas ditikam sekali di bahagian sama.
Siasatan awal mendapati serangan berlaku di ruang tamu rumah dua tingkat yang didiami suspek bersama kedua-dua mangsa.
Suspek dipercayai mengalami halusinasi dan pernah menjalani rawatan psikiatri di Hospital Fatimah, Ipoh sebelum dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan. Suspek turut mengalami kecederaan luka di tapak tangan kiri.
Kedua-dua mangsa dilaporkan kritikal dan menerima rawatan di Hospital Kampar sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
Polis turut merampas sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.




