Pelajar dan pekerja bank antara 8 didakwa ahli kumpulan jenayah terancang

Lapan individu termasuk seorang kakitangan bank dan pelajar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Adik Labu Besar’.
Tertuduh ialah Nur Alya Nadhira Che Hassan, Nurul Natasha Mohammad Shukri, Muhamad Samerin Shahrom, Mohamed Aizat Rosmadi, Aizal Abuk Bakar, Mohammad Zaini Yusoff, Muhammad Azizi Abd Ghafar dan Muhamad Fitri Abdul Karim.
Mereka didakwa terlibat dalam kumpulan itu antara Mac hingga 16 Oktober 2025 di sebuah apartmen di Jalan Kampung Gajah, Kampung Gajah.
Kes didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan mahkamah tidak membenarkan jaminan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Mei.



