Zamri Vinoth disiasat isu provokatif, hina kaum

Polis Pulau Pinang membuka siasatan terhadap penceramah bebas Zamri Vinoth susulan video siaran langsung di TikTok yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur ugutan, provokatif serta menyentuh sensitiviti kaum.
Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail berkata siasatan dijalankan selepas satu laporan polis dibuat pada 8 Mac lalu, dengan kes disiasat di bawah kesalahan hasutan, penghinaan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta penyalahgunaan dalam talian.
Dalam perkembangan sama, polis turut menahan empat lagi lelaki di Bukit Mertajam awal pagi tadi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan serangan terhadap Zamri pada 7 Mac.
Penahanan itu menjadikan jumlah tangkapan kini enam orang, dengan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 427 kerana khianat.
Semua suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan.




