Kes EV terbakar meningkat, pemilik disaran ambil perlindungan insurans tambahan

Penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia semakin meningkat, namun risiko seperti kebakaran turut menjadi kebimbangan apabila sebanyak 27 kes melibatkan EV dan hibrid direkodkan antara 2023 hingga Julai tahun lalu.
Jumlah pemilikan EV melonjak daripada 3,127 unit pada 2022 kepada 44,813 unit tahun lalu, dengan pendaftaran meningkat hampir 60 peratus tahun ke tahun.
Susulan perkembangan itu, General Insurance Association of Malaysia menggesa pemilik EV tidak hanya bergantung kepada insurans kenderaan asas, sebaliknya menambah perlindungan bagi risiko seperti kebakaran, kerosakan serta unit pengecas di rumah.
Menurut persatuan itu, polisi komprehensif menawarkan perlindungan lebih menyeluruh termasuk kebakaran, kemalangan dan kecurian, berbanding polisi pihak ketiga yang lebih terhad.




