Israel nafi gencatan senjata seperti diumum Pakistan

Israel menegaskan gencatan senjata yang dilaksanakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump terhadap Iran selama dua minggu tidak melibatkan Lubnan.
Perjanjian sementara antara Washington dan Tehran dicapai bagi meredakan ketegangan, termasuk jaminan Iran membuka laluan Selat Hormuz serta memulakan rundingan damai dalam tempoh tersebut.
Bagaimanapun, Israel mengekalkan pendirian bahawa operasi ketenteraan berkaitan Lubnan akan diteruskan, sekali gus bercanggah dengan dakwaan awal Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif yang menyatakan gencatan senjata merangkumi semua kawasan.
Lubnan sebelum ini terheret dalam konflik selepas kumpulan Hezbollah melancarkan serangan ke atas Israel, mencetuskan tindak balas ketenteraan dan serangan udara yang mengorbankan lebih 1,500 orang.
Pengecualian Lubnan menunjukkan konflik di sempadan utara Israel masih berlarutan meskipun usaha meredakan ketegangan antara AS dan Iran sedang dijalankan.




