Banjir Hatyai: Bayi terpaksa minum air hujan, geng Proton X50 harap bantuan cepat sampai

Keadaan rakyat Malaysia yang terkandas akibat banjir di Hatyai semakin membimbangkan apabila kumpulan mangsa di sebuah hotel dilaporkan tidak menerima bekalan makanan dan air bersih sejak beberapa hari lalu.
Seramai 31 rakyat Malaysia, termasuk warga emas dan seorang bayi berusia 11 bulan melibatkan ahli kumpulan kereta Proton X50 dari Kedah masih terperangkap selepas bekalan elektrik dan air terputus sepenuhnya.
Keadaan menjadi kritikal apabila bayi berkenaan terpaksa diberi susu yang dibancuh menggunakan air hujan, satu-satunya sumber yang mereka ada selepas banjir menenggelamkan kawasan sekitar.
Mereka dikatakan menyertai konvoi ke Hatyai sebelum banjir kilat melanda hujung minggu lalu dan kesemua kenderaan milik mereka ditenggelami banjir seperti yang tular dalam rakaman di media sosial.
Komunikasi dengan kumpulan ini juga tidak stabil, dengan kali terakhir mereka berjaya dihubungi sekitar malam sebelum talian terhenti semula.
Pasukan berkuasa Thailand bersama sukarelawan Malaysia kini mula bergerak memasuki kawasan terjejas selepas air menunjukkan tanda-tanda surut di beberapa lokasi.




