Malaysia perlu rancang tenaga jangka panjang, elak bergantung pada situasi semasa – Pakar ekonomi

Malaysia disaran supaya tidak lagi bergantung kepada penyelesaian jangka pendek setiap kali berlaku kejutan harga minyak, sebaliknya perlu membina strategi jangka panjang bagi memperkukuh ketahanan tenaga negara.
Pakar ekonomi dan pensyarah adjung Universiti Teknologi Petronas, Samirul Ariff Othman berkata Malaysia perlu mempelbagaikan sumber tenaga serta memastikan aspek keselamatan bekalan lebih terjamin bagi menghadapi ketidaktentuan global.
Beliau turut mengingatkan kembali krisis minyak 1973 apabila dunia berdepan gangguan besar selepas negara-negara Arab mengenakan sekatan minyak ketika konflik dengan Israel.
Situasi itu menyebabkan harga minyak dunia melonjak mendadak dan memberi kesan besar kepada ekonomi global.
Dalam perkembangan semasa, ketegangan di Asia Barat kembali mencetuskan kebimbangan apabila laluan penting Strait of Hormuz dilaporkan terganggu susulan konflik yang berlaku di kawasan tersebut.




