Walaupun AS-Iran capai perjanjian damai, pemulihan ekonomi dunia dijangka ambil masa

Perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang diumumkan minggu ini memberi sedikit kelegaan kepada pasaran global, namun pakar ekonomi dan tenaga menjangkakan pemulihan ekonomi dunia tidak akan berlaku dalam masa terdekat.
Walaupun harga minyak mentah mula menurun susulan perkembangan positif itu, gangguan terhadap bekalan tenaga global yang berlaku sejak konflik tercetus masih memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.
Menurut penganalisis, walaupun laluan selat hormuz dijangka dibuka semula dalam masa terdekat, operasi pengeluaran minyak, penapisan, penghantaran serta urusan insurans maritim perlu disusun semula secara berperingkat sebelum bekalan kembali stabil.
Susulan itu, harga minyak Brent dilaporkan jatuh di bawah AS$84 setong selepas pengumuman perjanjian damai, namun ia masih berada pada paras lebih tinggi berbanding sebelum konflik bermula.
Pasaran saham global turut menunjukkan pemulihan, tetapi pakar memberi amaran bahawa risiko geopolitik masih wujud kerana beberapa isu utama termasuk program nuklear Iran dan pelaksanaan syarat perjanjian masih belum dimuktamadkan.




