Harmoni dalam kepelbagaian, Sabah jadi contoh toleransi dan perpaduan negara

Sabah terus diangkat sebagai contoh terbaik keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama menerusi penganjuran Dialog Harmoni Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Kota Kinabalu hari ini.
Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) itu dirasmikan oleh Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang.
Dalam ucapannya, Aaron berkata Malaysia memiliki lebih 200 kumpulan etnik dan subetnik yang hidup bersama dalam suasana aman, menjadikan kepelbagaian sebagai kekuatan utama negara.
Beliau turut menegaskan bahawa agenda Harmoni MADANI yang berteraskan empat prinsip iaitu Faham, Hormat, Terima dan Meraikan akan terus diperkukuh bagi memupuk persefahaman serta menghargai perbezaan agama, budaya dan adat resam dalam kalangan rakyat.
Menurut beliau, antara cabaran utama keharmonian negara ketika ini ialah penyebaran berita palsu, ucapan kebencian di media sosial, provokasi berasaskan kaum dan agama serta sikap prejudis yang semakin menjarakkan hubungan antara komuniti.
Beliau turut menekankan bahawa dialog antara agama merupakan platform terbaik untuk mengurangkan prasangka, membina persefahaman dan mengelakkan konflik.




