Warga China tarik tudung, tolak kepala pegawai imigresen di KLIA

Seorang wanita warga China ditahan selepas bertindak agresif dengan menarik tudung dan menolak kepala seorang pegawai imigresen di KLIA Terminal 1 malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7.40 malam ketika pemeriksaan perlepasan mendapati wanita itu bersama seorang lelaki dan dua kanak-kanak tidak mempunyai rekod pergerakan masuk, lalu dirujuk untuk semakan lanjut.
Menurut kenyataan media Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), suspek kemudian memaki hamun pegawai kerana diminta memberi laluan kepada penumpang lain sementara semakan dibua.
Wanita itu kemudian bertindak kurang ajar dengan menarik tudung dan menolak kepala mangsa ke arah tiang di hadapan kaunter sehingga Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) dipanggil bagi mengawal keadaan.
Pegawai terlibat mengalami bengkak pada mata, sakit kepala dan lenguh badan, sebelum dirujuk ke Hospital Cyberjaya.
Laporan polis dibuat dan suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 186, 332 dan 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang, mencederakan serta menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk kekerasan atau ancaman terhadap pegawai bertugas.




