Pasport Malaysia 10 tahun diperkenalkan, mula ditawarkan 1 Julai

Rakyat Malaysia kini boleh memohon pasport antarabangsa Malaysia dengan tempoh sah sehingga 10 tahun bermula esok, 1 Julai. Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan kemudahan baharu itu ditawarkan kepada warganegara berusia 18 tahun ke atas, dan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Pasport 10 tahun itu ditawarkan pada harga RM350, manakala pasport lima tahun kekal berharga RM200.
Menurut KDN, pemohon yang memilih pasport 10 tahun dapat menjimatkan RM50 berbanding memperbaharui pasport lima tahun sebanyak dua kali dalam tempoh yang sama, selain mengurangkan kekerapan proses pembaharuan.
Dari segi keselamatan, pasport baharu itu dilengkapi 94 ciri keselamatan, meningkat daripada 49 ciri pada versi sedia ada. Antara ciri yang ditambah ialah corak guilloche, imej tersembunyi, cetakan pelangi, modulasi ketebalan garisan, hologram dan cetakan ultraungu bagi mengelakkan pemalsuan serta pengubahsuaian dokumen.
Pelaksanaan pasport baharu ini akan dilakukan secara berperingkat di 71 pejabat pengeluar pasport di seluruh negara. KDN turut menasihatkan orang ramai supaya tidak tergesa-gesa menukar pasport yang masih sah kerana ia masih boleh digunakan sehingga enam bulan sebelum tarikh luput.




