Empat remaja dikhuatiri lemas di Pantai Tanjung Lompat

Empat remaja lelaki berusia 16 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di Pantai Tanjung Lompat, Tanjung Balau, Penawar, pagi ini.
Kejadian berlaku selepas enam remaja daripada kumpulan 15 orang yang sedang berkhemah di kawasan itu sejak petang semalam mengalami kesukaran ketika mandi di pantai. Dua daripada mereka berjaya diselamatkan orang awam kira-kira jam 7.45 pagi.
Empat yang masih hilang dikenal pasti sebagai Alif Taqiudin, Mohd Haiman, Adib Rizqi dan Thaqif Rayyan. Pusat Gerakan Operasi JBPM Johor menerima panggilan kecemasan pada jam 8.19 pagi sebelum enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar digerakkan ke lokasi.
Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan bagi mengesan keempat-empat remaja berkenaan. Setakat jam 10.40 pagi, mangsa masih belum ditemukan.




