Hasrat pulang bersama keluarga berakhir tragedi, bapa dan anak maut dihempap kontena

Seorang bapa dan anak perempuannya maut selepas kereta Toyota Avanza dinaiki mereka dihempap sebuah kontena di Jalan Sepanggar, berhampiran Pelabuhan Sepanggar, Sabah, semalam.
Kedua-dua mangsa, Mohd Jadi Pelbi, 53, dan Norfaieza Mohd Jadi, 24, dipercayai dalam perjalanan pulang selepas bapanya menjemput mangsa dari tempat kerja di Manggatal.
Kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu dipercayai berlaku apabila sebuah lori treler hilang keseimbangan sebelum terbalik dan kontenanya menghempap kereta mangsa. Kedua-dua mangsa dilaporkan tersepit di dalam kenderaan selama lebih tiga jam.
Seramai 26 anggota bomba terlibat dalam operasi menyelamat dengan bantuan dua kren untuk mengalihkan kontena. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala pemandu treler berusia 49 tahun ditahan bagi membantu siasatan.




