BUDI95: Kuota 300 liter boleh isi penuh Axia sebanyak 10 kali sebulan, antara termurah dunia

Kerajaan menetapkan 300 liter sebulan bagi petrol RON95 bersubsidi, jumlah yang disifatkan mencukupi untuk kegunaan bulanan sebuah kereta biasa. Ia bersamaan kira-kira 170 kilometer perjalanan setiap hari.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Malaysia kekal antara negara dengan harga petrol termurah di dunia, meskipun harga tanpa subsidi mencecah RM2.60 seliter.
Mulai 30 September ini, rakyat tempatan hanya perlu membayar RM1.99 seliter menerusi program Budi Madani RON95 (BUDI95), manakala bukan warganegara dikenakan harga pasaran RM2.60 seliter.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan langkah itu memastikan rakyat terus menikmati bahan api murah tanpa mengira tahap pendapatan.
Kerajaan juga mengekalkan harga subsidi RM1.99 seliter walaupun harga minyak dunia turun, sekali gus mengekalkan Malaysia dalam kelompok negara dengan bahan api paling rendah di rantau ini dan global.




