Mahathir masih cuba kembali ke pejabat, ucap terima kasih atas doa buat Hasmah

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memaklumkan beliau masih cuba kembali ke pejabat sejak kebelakangan ini, namun keadaannya masih belum begitu kuat.
Dalam kenyataan hari ini, beliau mewakili seluruh ahli keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan pengebumian isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.
Beliau turut meluahkan rasa terharu atas doa yang tidak putus-putus buat Allahyarhamah, sama ada di pusara mahupun dari pelbagai tempat. Mahathir berkata, doa itu mengingatkannya untuk terus bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi peluang menjalani kehidupan bersama Hasmah untuk tempoh yang begitu lama.
Beliau turut memohon maaf sekiranya ada salam yang tidak disambut, lambaian yang tidak dibalas atau ucapan takziah yang masih belum dijawab sepanjang tempoh berkenaan.



