Anak lahir luar negara automatik diberi kewarganegaraan bermula Jun – Saifuddin

Pemberian kewarganegaraan automatik kepada anak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara dijangka berkuat kuasa pada Jun atau Julai tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pelaksanaan itu dibuat susulan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan yang telah diluluskan Parlimen tahun lalu, selepas pindaan peraturan, penyediaan dokumen dan proses pewartaan diselesaikan.
Beliau berkata, sehingga kini lebih 20,000 permohonan kewarganegaraan telah diputuskan, manakala baki permohonan tertunggak berjaya dikurangkan daripada hampir 50,000 kepada kurang 4,000 dan dijangka diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh terdekat.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution memaklumkan 35 banduan berjaya menamatkan modul pemulihan dan menjadi huffaz, selain pelbagai program reintegrasi dilaksanakan bagi membantu bekas banduan kembali ke masyarakat, dengan kadar pengulangan jenayah sekitar 12 peratus.




