
Kerajaan Malaysia akan meneruskan usaha menghantar pulang kira-kira 5,000 pelarian dan pencari suaka warga Myanmar susulan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Badan Peguam Malaysia untuk menangguhkan proses berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar akan meneruskan rundingan dengan kerajaan Myanmar bagi melaksanakan penghantaran pulang kumpulan kedua, selagi tiada keputusan mahkamah yang menghalangnya.
Mahkamah turut menetapkan 8 Disember ini sebagai tarikh untuk prosiding semakan kehakiman berhubung permohonan berkenaan.
Sementara itu, Saifuddin mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap pelarian Myanmar, termasuk menyerang kediaman atau menghalau mereka.
Beliau menegaskan bahawa urusan penguatkuasaan perlu diserahkan kepada polis dan pihak berkuasa imigresen.




