
Selangor bersedia berkongsi kemudahan dan infrastruktur sukan milik negeri bagi membantu persiapan atlet menghadapi temasya sukan akan datang, termasuk menyediakan lokasi untuk tujuan latihan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, antara kemudahan yang boleh digunakan ialah Stadium Hoki Selangor, selain beberapa lokasi sukan lain termasuk pusat boling di Sunway dan gelanggang bola tampar pantai.
Menurutnya, kemudahan berkenaan boleh dimanfaatkan oleh pasukan yang bakal bertanding, sekiranya Majlis Sukan Negara (MSN) memerlukan lokasi latihan di Selangor.
Tambah Amirudin, perkongsian kemudahan itu bukan sahaja dapat membantu persiapan atlet menghadapi kejohanan, malah memastikan infrastruktur sukan negeri digunakan secara optimum.




