Penggodam dedah kelemahan sistem LED, bukan sasar negara tertentu

Kumpulan penggodam dikenali sebagai ‘Leakers’ mendedahkan serangan terhadap sistem paparan skrin LED di Kluang, Johor yang menyebabkan video lucah ditayangkan pada skrin terbabit pada 29 Oktober lalu, bertujuan mendedahkan kelemahan keselamatan sistem berkenaan.
Dalam temu bual, wakil kumpulan itu mendakwa mereka mengeksploitasi kelemahan perisian yang digunakan untuk memindahkan kandungan ke skrin LED.
Mereka turut mendakwa serangan sama pernah menjejaskan beberapa negara termasuk Mesir, Iraq, Brazil dan China, dengan ribuan sistem terdedah dikenal pasti menerusi pengimbasan automatik dalam tempoh kira-kira dua jam.
Kumpulan itu menegaskan serangan berkenaan bukan bertujuan memeras ugut wang atau menyebarkan perisian tebusan, sebaliknya mahu membuktikan sistem paparan LED di pelbagai negara boleh diceroboh akibat kelemahan perlindungan asas.
Mereka juga mendakwa tidak menyasarkan mana-mana syarikat atau negara secara khusus.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata polis membuka dua kertas siasatan selepas menerima laporan berhubung kejadian yang membabitkan lapan skrin LED di sekitar Kluang.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan, manakala Majlis Perbandaran Kluang (MPK) turut mengesahkan insiden itu dan memohon maaf kepada orang ramai.



